Latar belakang Perang_China-Jepun_Kedua

Perang China-Jepun Kedua bermula dengan Perang China-Jepun I pada tahun 1894-95, dengan China di bawah Dinasti Qing dikalahkan oleh Jepun dan dipaksa menyerahkan Taiwan serta juga mengiktiraf 'kemerdekaan' Korea melalui Perjanjian Shimonoseki. Dinasti Qing berada dalam zaman kejatuhannya, akibat imperialisme barat serta pemberontakan dalaman, manakala Jepun menjadi kuasa besar melalui proses pemodenan yang berkesan.

Republik China ditubuhkan pada tahun 1912 selepas Revolusi Xinhai yang menggulingkan Dinasti Qing. Walau bagaimanpun, Republik tersebut adalah lemah, akibat penguasaan para hulubalang. Prospek menyatukan negara dan menghalau kuasa imperialis adalah tipis, dengan sesetengah hulubalang memihak kepada berbagai-bagai kuasa asing dalam usaha-usaha untuk menghapuskan satu sama lain. Umpamanya, hulubalang Zhang Zuolin dari Manchuria secara terbuka bekerjasama dengan Jepun supaya ingin menerima bantuan ketenteraan dan ekonomi.

Adalah semasa tempoh awal Republik China bahawa Jepun menjadi ancaman asing yang terbesar kepadanya. Pada tahun 1915, Jepun mengisytiharkan Dua Puluh Dua Tuntutan untuk melanjutkan kepentingan politik dan perdagangan di China. Selepas Perang Dunia I, Jepun mengambil alih lingkungan pengaruh Jerman di Shandong. China di bawah kerajaan Beiyang masih berpecah belah dan tidak berupaya menentang sebarang serangan asing sehingga pelancaran Ekspedisi Utara pada tahun 1926-28 oleh Kuomintang (KMT, atau Parti Nasionalis Cina), kerajaan pesaingnya yang berpusat di Guangzhou.

Ekspedisi Utara merentasi China dengan mudah sehingga disekat di Shandong apabila Zhang Zongchang, hulubalang Beiyang yang disokong oleh Jepun, cuba menghentikan Tentera Kuomintang daripada menyatukan China. Keadaan ini memuncak dengan Peristiwa Jinan pada tahun 1928 yang mengakibatkan pertempuran singkat antara tentera Kuomintang dengan tentera Jepun. Pada tahun yang sama, Zhang Zuolin, hulubalang Manchuria, dibunuh oleh Jepun apabila beliau enggan bekerjasama dengannya. Menyusul peristiwa-peristiwa ini, kerajaan Kuomintang di bawah Chiang Kai-shek akhirnya berjaya menyatukan China pada tahun 1928.

Tentera Jepun memasuki Shenyang semasa Peristiwa Mukden.

Walaupun demikian, banyak pertempuran antara China dan Jepun masih berlarutan dengan kebangkitan nasionalisme China yang memiliki salah satu maklumat Tiga Prinsip Rakyat yang bertujuan untuk menghapuskan imperialisme asing sama sekali dari China. Bagaimanapun, Ekspedisi Utara hanya dapat menyatukan China pada nama sahaja, dengan perang-perang saudara tercetus antara bekas hulubalang-hulubalang dan puak-puak Kuomintang. Tambahan pula, para komunis Cina memberontak terhadap kerajaan pusat. Kerana keadaan-kedadaan ini, kerajaan pusat China banyak mengalihkan perhatian mereka kepada perang-perang saudara dan mengikut dasar "pendamaian dalaman dahulu sebelum penentangan kuasa asing". Keadaan ini memberikan peluang yang mudah kepada Jepun untuk melanjutkan keganasannya.

Pada tahun 1931, tentera Jepun menyerang Manchuria sejurus selepas Peristiwa Mukden. Selepas lima bulan bertempur pada tahun 1932, negara boneka Manchukuo diasaskan dengan Puyi, maharaja terakhir China, dilantik sebagai ketua negara. Tidak berupaya mencabar Jepun secara langsung, China merayu kepada Liga Bangsa untuk bantuan. Penyiasatan Liga menerbitkan Laporan Lytton yang mengutuk Jepun untuk serangan Manchurianya, dan mengakibatkan Jepun menarik diri daripada pertubuhan antarabangsa tersebut. Sejak dari akhir dekad 1920-an dan pada sepanjang dekad 1930-an, dasar beralah merupakan dasar komuniti antarabangsa, dengan tiadanya sebarang negara yang rela mengambil pendirian yang aktif selain daripada celaan lemah. Jepun melihatkan Manchuria sebagai suatu bekalan bahan-bahan mentah yang tidak terhad serta juga sebagai sebuah negara penampan terhadap Kesatuan Soviet.

Pertempuran-pertempuran tidak henti-henti menyusul Peristiwa Mukden. Pada tahun 1932, askar-askar Cina dan Jepun bertempur dalam pertempuran singkat dalam Peristiwa 28 Januari. Perang itu menyebabkan penyahtenteraan Shanghai yang melarang China menempatkan sebarang askar di dalam bandar raya sendiri. Di Manchukuo, sebuah kempen berterusan dijalankan untuk menewaskan tentera sukarelawan yang muncul, akibat kekecewaan umum terhadap dasar ketaktentangan Jepun. Pada tahun 1933, Jepun menyerang wilayah Tembok Besar dan ekoran daripada pertempuran itu, Kedamaian Sementara Tanggu dimeterai yang memberikan Jepun penguasaan ke atas provinsi Rehe serta sebuah kawasan bebas tentera antara Tembok Besar dan wilayah Beiping-Tianjin. Jepun juga bertujuan untuk mencipta lagi sebuah wilayah penampan, kini antara Manchukuo dan Nanjing, ibu negara kerajaan Nasionalis Cina.

Selain itu, Jepun semakin mempergunakan pertikaian-pertikaian dalaman antara puak-puak Cina untuk mengurangkan kekuatan mereka satu demi satu. Oleh itu, walaupun beberapa tahun telah berlalu selepas Ekspedisi Utara, kuasa politik kerajaan Nasionalis masih hanya berkisar di sekitar wilayah Delta Sungai Yangtze, dengan wilayah-wilayah China yang lain pada dasarnya dipegang oleh kuasa-kuasa tempatan.

Jepun sering membayar atau mencipta hubungan khas dengan kuasa-kuasa wilayah supaya dapat menjejaskan usaha-usaha kerajaan pusat Nasionalis untuk menyatukan China. Untuk berbuat demikian, Jepun mencari-cari berbagai-bagai pengkhianat Cina untuk bekerjasama dan membantu mereka mengetuai sebilangan kerajaan "autonomi" yang menyokong Jepun. Dasar ini dipanggil "Pengkhususan" China Utara (Bahasa Cina: 華北特殊化; pinyin: húaběitèshūhùa), atau lebih dikenali sebagai "Gerakan Autonomi China Utara". Provinsi-provinsi utara yang terjejas oleh dasar ini ialah Chahar, Suiyuan, Hebei, Shanxi, dan Shandong.

Di bawah tekanan Jepun pada tahun 1935, China memeterai Perjanjian He-Umezu yang melarang Kuomintang (KMT) daripada menjalankan operasi partinya di Hebei dan secara berkesan, menamatkan penguasaan Cina terhadap China Utara. Pada tahun yang sama, Perjanjian China-Doihara dimeterai dan mengakibatkan KMT disingkirkan dari Provinsi Chahar. Dengan itu, kerajaan pusat Cina disingkirkan sama sekali daripada China Utara menjelang akhir tahun 1935. Sebagai ganti, Majlis Autonomi Hebei Timur (disokong oleh Jepun), dan Majlis Politik Hebei-Chahar diasaskan.

Untuk memahami kerumitan penglibatan Rusia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat yang kemudian dalam Perang China-Jepun Kedua, alasan-alasan dan niat-niat yang mendasari penglibatan masing-masing dalam perang ini harus diperhatikan:

Jepun: Niat-niat Jepun adalah jelas: untuk mencipta kemakmuran Jepun melalui memperoleh sumber-sumber China untuk tujuan tersebut. Jepun tidak bertujuan untuk memerintah China secara langsung, tetapi ingin mengasaskan kerajaan-kerajaan boneka yang menyokong kepentingannya. Untuk mendukung matlamat-matlamatnya, Jepun harus menguasai banyak sumber semula jadi, seperti yang terdapat di Malaysia, Indonesia, dan Filipina yang ketika itu masing-masing dikuasai oleh Britain, Belanda, dan Amerika Syarikat.

China (Nationalis): China Nationalis mempunyai banyak matlamat: untuk menentang keganasan Jepun, menyatukan China di bawah sebuah kerajaan pusat, menghapuskan pengaruh asing dari China, menewaskan komunisme, serta juga untuk muncul semula sebagai sebuah negara yang kuat.

China (Komunis): Pihak komunis membiarkan tentera Nasionalis melakukan kebanyakan pertempuran dengan Jepun, sementara menjalankan perang gerila terhadap tentera Jepun. Parti Komunis Cina cuba mengelakkan sebarang pertempuran langsung dengan tentera Jepun kerana berharap dapat muncul daripada peperangan lebih kuat daripada tentera Nasionalis. Dengan itu, pihak komunis akan menjadi pemenang dalam pertempuran yang tidak dapat dielakkan dengan pihak Nasionalis untuk penguasaan China.

Kesatuan Soviet: Kesatuan Soviet membiarkan Jepun melampaui keupayaannya di China supaya ia dapat bertempur dengan tentera Jerman di Barat tanpa menurunkan banyak askar di Timur terhadap serangan Jepun yang mungkin. Tambahan pula, sebuah China yang dilemahkan akan membenarkan pihak komunis China berkembang dan akhirnya mengambil alih negara itu, dan memberikannya suatu sekutu yang berpotensi serta sebuah zon penampan terhadap dasar peluasan kuasa Barat dan Jepun.

United Kingdom: United Kingdom terpaksa bertempur dengan Jerman di Eropah sementara membenarkan China bertempur dengan Jepun sehingga menemui jalan buntu, kerana hendak mendapatkan lebih banyak masa untuk memperoleh semula tanah-tanah jajahan Pasifiknya di Malaysia kini, Burma, dan Singapura. Kebanyakan askar British dipergunakan untuk bertempur di Eropah dan oleh itu, tidak banyak yang dapat diturunkan dalam perang di Pasifik.

Amerika Syarikat: Amerika Syarikat umumnya mengamalkan dasar pemencilan sebelum serangan Pelabuhan Mutiara dan tidak ingin memprovokasi Jepun secara langsung. Menyusul kemasukan Amerika ke dalam Perang Dunia II, Amerika Syarikat harus menewaskan tentera Jepun di Pasifik sementara bertempur juga dengan tentera Jerman di Kancah Eropah. Keutamaannya adalah untuk menewaskan tentera Jerman terlebih dahulu. Amerika Syarikat memulakan kempen pelompatan dari pulau ke pulau untuk mencapai pangkalan-pangkalan yang cukup dekat dengan Jepun untuk menyokong serangan-serangan pengeboman dan akhirnya serangan langsung. Apabila tentera Jerman menyerah, perang di Timur harus ditamatkan dengan secepat mungkin tanpa banyak pengorbanan tentera Amerika Syarikat.

Adalah jelas ketika itu bahawa China Nasionalis menghadapi tugas yang amat sukar kerana sekutu-sekutunya memiliki kepentingan yang tidak semestinya sepadan dengan kepentingan China. Jika fakta-fakta ini diingati, sesetengah keputusan Pihak Berikat akan lebih mudah difahami.